2022 jadi tahun pemulihan, MIDF Research unjur KDNK berkembang 6%, kadar pengangguran susut 4%
Dagang News
Disember 7, 2021 11:56 MYT
Disember 7, 2021 11:56 MYT
KUALA LUMPUR: Momentum pemulihan ekonomi negara akan berterusan sehingga tahun hadapan yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang kukuh pada 6%, menurut MIDF Research dalam laporan prospek ekonomi 2022.
Bagi 2021, firma itu mengunjurkan KDNK pada 3.7% setelah ekonomi negara kembali mencatat pertumbuhan negatif -4.5% pada suku ketiga, disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh yang telah menjejaskan perbelanjaan domestik dan aktiviti perniagaan.
Namun, katanya, ekonomi akan mencatat pertumbuhan yang lebih baik pada suku keempat ini apabila sekatan pergerakan dilonggarkan yang akan menyaksikan aktiviti ekonomi domestik kembali meningkat secara berperingkat.
"Ini akan meneruskan pemulihan pada 2022, tambahan pula perbelanjaan kerajaan akan terus menyumbang secara positif kepada pertumbuhan, dengan mengambil kira pengembangan Bajet 2022 dan peruntukan tinggi bagi perbelanjaan pembangunan.
"Pada masa sama, pertumbuhan permintaan luaran bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) dan komoditi akan terus menyokong aktiviti dagangan luar Malaysia pada tahun hadapan," katanya hari ini.
Selain perbelanjaan pengguna yang akan kembali pulih, semua sektor turut dijangka mencatat prospek yang lebih cerah pada 2022.
Malah, MIDF Research turut menjangkakan kadar inflasi akan kekal stabil pada 2.1% tahun hadapan di sebalik gangguan rantaian bekalan global dan kenaikan kos pengeluaran.
"Pada tahun hadapan, kami berpendapat, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.00% pada separuh kedua memandangkan pertumbuhan ekonomi semakin mengukuh dan inflasi pula kekal stabil," tambahnya.
Setakat ini, hutang isi rumah kepada KDNK merosot kepada 89.6% pada akhir Jun 2021 (berbanding 93.2% pada akhir 2020) memandangkan ramai peminjam menggunakan simpanan mereka ketika pandemik untuk membayar hutang.
"Secara keseluruhan, kami mengharapkan sebarang pelarasan dasar oleh BNM akan memastikan kestabilan pertumbuhan tidak terhalang di samping mengekalkan inflasi dalam kawalan," jelasnya.
Kadar pengangguran 4%
Prospek ekonomi yang lebih baik ini akan terus membantu memperkukuhkan kembali pasaran pekerjaan di Malaysia yang terjejas teruk akibat PKP dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.
"Bagaimanapun, kami menganggarkan kadar pengangguran akan kekal sekitar 4.5% tahun ini, sama seperti tahun lalu.
"Tetapi kadar pengangguran ini dijangka menurun pada 4% tahun hadapan apabila lebih ramai mula memasuki pasaran pekerjaan," jelasnya.
Inisiatif kerajaan seperti JaminKerja, program subsidi upah bersasar dan MySTEP dilihat akan terus menyokong pertumbuhan pekerjaan pada tahun hadapan.
Bagi sektor perladangan dan pembinaan pula, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan bekalan pekerja asing akan membantu mengurangkan masalah kekurangan pekerja yang telah menjejaskan produktiviti tahun ini.
Namun, firma itu berkata, sebarang kenaikan semula jangkitan COVID-19 dan kemunculan varian baharu akan menjadi antara risiko penurunan kepada prospek ekonomi negara pada tahun hadapan.
"Ini sekali lagi akan menjejaskan prospek jangka pendek bagi aktiviti domestik dan juga pengambilan pekerja," katanya.
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS
MIDF Research menjangkakan ringgit akan mengukuh pada RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2022 berbanding RM4.15 pada akhir tahun ini.
Menurutnya, lebihan akaun semasa yang berterusan dan aliran masuk dana ke Malaysia dijangka akan terus menyokong pengukuhan ringgit pada tahun hadapan.
"Secara umumnya, kami melihat ringgit akan mengukuh disokong prospek pertumbuhan yang lebih baik dan kecenderungan pelabur terhadap pasaran ekonomi baharu muncul termasuk Malaysia.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang akan mengehadkan pengukuhan mata wang tempatan ini, antaranya, pengetatan dasar yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan AS.
"Selain itu, ia turut dipengaruhi dengan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang akan membawa kepada peningkatan permintaan terhadap dolar AS," jelasnya.
KLCI diunjur pada 1,700 mata
Firma itu menganggarkan indeks utama FBM KLCI akan berlegar pada paras 1,700 mata menjelang akhir 2022.
"Berdasarkan perbincangan kami mengenai prospek pasaran dan ekonomi, pada pendapat kami, tema yang akan menjadi tumpuan pada tahun hadapan tertumpu kepada prospek makroekonomi dan akan mencerminkan prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik.
"Namun begitu, kami menyedari mengenai kemungkinan risiko penurunan dalam tempoh terdekat," jelasnya.
Selain itu, menurutnya, tema yang akan menjadi tumpuan pelabur pada tahun hadapan ialah kenaikan harga komoditi secara berterusan.
"Di sebalik jangkaan kami bahawa harga komoditi akan kembali normal pada 2022, tetapi ia masih kekal tinggi," tambahnya.
Dalam kalangan semua sektor, MIDF Research hanya menyemak sektor pembinaan kepada 'neutral' berbanding 'positif' sebelum ini.
Bagaimanapun, ia mengekalkan pandangan positif terhadap sektor automotif, perbankan, pengguna, penjagaan kesihatan, minyak dan gas, perladangan, teknologi, media dan produk perindustrian.
Pandangan neutral pula dikenalkan untuk sektor sarung tangan getah, tenaga, hartanah, REIT, telekomunikasi, penerbangan, logistik dan pengangkutan.
Artikel asal di DagangNews.com