2020 catat prestasi terburuk buat industri penerbangan - IATA
Dagang News
Ogos 5, 2021 08:11 MYT
Ogos 5, 2021 08:11 MYT
Tahun 2020 tercatat sebagai tempoh terburuk dalam industri penerbangan akibat tercetusnya wabak COVID-19, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berdasarkan Statistik Pengangkutan Udara Dunia IATA (WATS).
Malah, statistik itu mendapati hanya 1.8 bilion penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangan pada tahun lalu, merosot 60.2% berbanding 4.5 bilion pada 2019.
Jumlah hasil penumpang industri pula menurun sebanyak 69% kepada AS$189 bilion pada 2020 dengan merekodkan AS$126.4 bilion kerugian bersih.
Pada masa sama, permintaan perjalanan udara jatuh sebanyak 65.9% tahun ke tahun, manakala permintaan penumpang udara antarabangsa dan domestik masing-masing merosot sebanyak 75.6% dan 48.8% berbanding pada 2019.
Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, 66% daripada pesawat pengangkutan komersial dunia tersadai apabila kebanyakan negara menutup sempadan atau mengenakan kuarantin ketat ketika krisis itu mencapai kemuncak pada April 2020.
“Ia menyaksikan berjuta-juta orang hilang pekerjaan dan kerugian industri bagi tahun itu berjumlah AS$126 bilion.
"Kerajaan di kebanyakan negara yang mengenal pasti industri ini sebagai penyumbang penting kepada negara bertindak menyediakan bantuan kewangan termasuk sokongan lain untuk memastikan sektor mampu bertahan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan, tindakan pantas syarikat penerbangan dan pemain industri membolehkan sektor tersebut mampu melalui tahun yang paling sukar dalam sejarah.
Mengenai prestasi syarikat penerbangan pada 2020, statistik WATS menunjukkan rantau Asia Barat merekodkan penurunan trafik penumpang terbesar apabila hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) susut 71.5% berbanding 2019.
Ini diikuti rantau Eropah dan Afrika dengan masing-masing merosot 69.7% dan 68.5%.
“China pula sebaliknya muncul pasaran domestik terbesar pada 2020 buat pertama kalinya dalam sejarah, apabila perjalanan udaranya melantun semula dengan pantas di pasaran domestik susulan usaha yang diambil untuk membendung pandemik ini,” katanya.
Selain itu, WATS juga mendedahkan pengangkutan muatan udara mencatat prestasi memberangsangkan bagi 2020, apabila pasaran menyesuaikan keadaaan dengan penghantaran barangan termasuk vaksin, peralatan perlindungan diri dan bekalan perubatan penting, di sebalik penurunan besar kapasiti daripada muatan pesawat penumpang.
“Kargo tan kilometer tersedia (ACTK) dalam industri susut 21.4% tahun ke tahun pada 2020 yang membawa kepada kelemahan kapasiti.
"Faktor muatan kargo dalam seluruh industri meningkat 7 mata peratusan kepada 53.8%, merupakan nilai tertinggi dalam siri IATA sejak 1990," katanya.
Pada akhir tahun, industri kargo tan kilometer (CTK) secara menyeluruh hampir kembali ke paras nilai sebelum krisis COVID-19.
"Bagaimanapun, penurunan dalam permintaan kargo (CTK) masih terbesar sejak krisis kewangan global pada 2009 pada tahap 9.7% tahun ke tahun pada 2020," tambah statistik itu.
#IATA
#tempoh terburuk
#industri penerbangan
#pesawat
#pandemik
#COVID-19
#hasil penumpang industri
#permintaan perjalanan udara
#pesawat pengangkutan komersial dunia