2018 akan jadi tahun agak baik bagi ekonomi M'sia - Deutsche Bank
Bernama
Februari 7, 2018 07:05 MYT
Februari 7, 2018 07:05 MYT
Tahun 2018 diunjurkan menjadi tahun yang agak baik bagi ekonomi Malaysia, dan berasaskan data Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang sentiasa positif, ia kemungkinan meletakkan negara ini setanding kelompok negara maju itu, sekurang-kurangya bagi beberapa tempoh suku.
Ketua Pakar Ekonomi Asia-Pasifik Deutsche Bank, Dr Michael Spencer berpendapat, pertumbuhan akan berkembang baik pada separuh pertama tahun ini.
"Pertumbuhan akan meningkat dengan baik pada separuh pertama tahun ini bagaimanapun pada tempoh akhir tahun, ia dijangka perlahan. Saya berpendapat, pada 2019 pertumbuhan akan baik memandangkan ia (kemungkinan) kekal di atas lima peratus," katanya kepada pemberita pada Simposium Pasaran Modal Dunia 2018 di sini, pada Rabu.
Spencer merupakan antara anggota panel semasa sesi selama sejam mengenai 'Unjuran Pasaran 2018: Apa Yang Berlaku Pada Masa Depan?' semasa simposium anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia itu.
Beliau, bagaimanapun berkata, Malaysia perlu bersedia menghadapi pertumbuhan lembap secara berperingkat apabila kadar faedah AS mula menjejaskan ekonominya.
Beliau berkata, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar faedah merupakan langkah tepat, dan bank pusat itu dijangka meningkatkan kadar tersebut sebanyak dua kali dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Saya mahu bank pusat itu menjadi lebih memandang ke hadapan dan saya berpendapat pengumuman kadar faedah tersebut adalah berasaskan bahawa inflasi akan turun tidak lama lagi dan, saya berpandangan ia akan begitu," katanya.
BNM, menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan untuk menaikkan kadar utama itu memandangkan ekonomi berada pada landasan pertumbuhan kukuh.
"Pada masa sama, MPC menekankan keperluan memastikan terlebih dahulu pendirian dasar monetari adalah wajar untuk membendung peningkatan risiko yang mungkin timbul daripada kadar faedah yang terlalu rendah untuk tempoh yang lama," menurut BNM.
Bank pusat berkata, melangkah ke hadapan, momentum pertumbuhan kukuh dijangka berterusan pada 2018, disokong oleh pertumbuhan global yang lebih mantap dan limpahan positif daripada sektor luaran kepada ekonomi domestik.
Mengenai ringgit, Spencer berkata, akan berlaku kejutan dalam pasaran pada suku kedua tahun ini disebabkan inflasi di AS.
"Inflasi di AS akan meningkat mendadak antara April dan Ogos dan ia adalah faktor sebelum ini berdasarkan fakta tahun lepas.
"Mata wang negara Asia, termasuk ringgit dijangka diniagakan lemah... bagaimanapun kita hanya bercakap mengenai beberapa peratusan yang rendah jadi ia tidak ketara," katanya, dengan menambah, mata wang tempatan berkemungkinan mencecah 3.80 dalam tempoh terdekat.
Anggota panel lain, Pakar Ekonomi Kanan BNP Paribas Asset Management, Chi Lo berkata renminbi telah kukuh dan ia akan mempengaruhi semua mata wang negara Asia untuk turut teguh.
"Pada pandangan saya, ringgit telah dinilai lebih rendah. Terdapat bukti jelas peningkatan hubung kait antara pergerakan mata wang negara Asia dan renminbi berbanding dolar AS dan euro. Sekiranya hasil penyelidikan menjadi panduan yang baik, kita boleh menjangkakan keseluruhannya ringgit akan meningkat berbanding dolar AS," katanya. -- Bernama
#Amerika Syarikat
#Bank Negara Malaysia
#dasar monetari
#Deutsche Bank
#ekonomi
#Inflasi
#kadar faedah
#Malaysia
#mata wang
#Michael Spencer
#ringgit