2015 dijangka tahun mencabar bagi sektor bank - RHB Research

Bernama
Disember 17, 2014 16:11 MYT
RHB Research berkata, pendapatan sektor perbankan sepatutnya naik semula selepas prestasi lemah pada 2014 manakala bank-bank hari ini nampaknya mempunyai modal yang lebih baik. - Foto Fail
RHB Research menjangkakan satu lagi tahun yang mencabar bagi sektor bank pada tahun depan dalam suasana latar belakang makro yang sederhana, kecairan yang lebih ketat dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kualiti aset.
Firma penyelidikan itu yang mengekalkan saranan penarafan "neutral" ke atas sektor perbankan berkata kebanyakan senario dijangka sama seperti yang dilihat tahun ini, walaupun latar belakang makro telah menjadi lebih tidak menentu.
"Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan kejatuhan harga minyak mungkin akan mengekang pertumbuhan permintaan domestik, membawa kepada peningkatan perbelanjaan pengguna serta pelaburan swasta yang lebih sederhana," kata firma itu dalam satu nota hari ini.
Bagi 2015, RHB Research menjangkakan pertumbuhan pinjaman isi rumah terus sederhana kerana inflasi dan kadar faedah yang tinggi, serta pelaksanaan CBP akan memberi kesan ke atas perbelanjaan budi bicara pengguna.
RHB Research berkata, pendapatan sektor perbankan sepatutnya naik semula selepas prestasi lemah pada 2014 manakala bank-bank hari ini nampaknya mempunyai modal yang lebih baik.
Firma itu juga berkata Bank Negara Malaysia mungkin akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman tidak berubah pada 3.25 peratus.
#CBP #firma penyelidikan #makro #Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan #RHB Research
;