20 syarikat pembeli premium global sedia pasarkan produk halal melalui MIHAS@Dubai
Nazri Kahar
November 17, 2024 18:12 MYT
November 17, 2024 18:12 MYT
DUBAI: Sebanyak 20 syarikat pembeli premium telah mengesahkan penyertaan mereka di MIHAS@Dubai bagi membolehkan syarikat dari Malaysia meneroka pasaran baharu yang bukan tradisional di peringkat global.
Syarikat-syarikat pembeli premium ini sudah berdaftar dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) melalui program yang dikenali sebagai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).
Ketika ditemui wartawan Malaysia yang membuat lioutan MIHAS@Dubai, Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penganjuran acara berkenaan tepat pada masanya.
Beliau berkata, dengan penjenamaan kukuh sebagai pameran produk halal antarabangsa terbesar dunia sejak 20 tahun lalu, kini MIHAS bersedia keluar dari Kuala Lumpur dan memilih Dubai sebagai lokasi pertama.
Sementara itu, Reezal berkata pengiktirafan yang diperoleh daripada badan-badan pengiktirafan antarabangsa seperti Guinness World Record, World Trade Promotion Organisation (WTPO) dan UFI (the Global Association of the Exhibition Industry) telah memudahcarakan pengajuran MIHAS@Dubai 2024 ini.
“Bila MIHAS dah ada branding, bukan hanya pempamer nak sertai tapi pembeli juga mahu datang, sebab mereka tahu MIHAS ini sebuah program pameran perdagangan yang credible, berprestij dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Kalau tak ada branding MIHAS kukuh, sukar kita nak bawa pembeli-pembeli tersohor dari luar negara untuk datang. Kalau tak dapat bawa pembeli-pembeli mana mungkin kita dapat melonjakkan eksport daripada kalangan pengeksport. Jadi ini serampang dua, tiga mata," katanya.
Reezal menambah: "Kita dapat penyertaan 215 syarikat tempatan, iaitu syarikat individu dan syarikat bimbingan agensi seperti MARA, KUSKOP, dan juga kerajaan-kerajaan negeri.
"MIHAS@Dubai memiliki dua komponen iaitu pameran perdagangan dan padanan perniagaaan melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), bagi membolehkan syarikat tempatan melakukan lonjakan lebih tinggi ke pasaran global," katanya.
MIHAS@Dubai 2024 anjuran Matrade dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 18 November 2024, bersama-sama Ekspo Organik dan Produk Asli Timur Tengah (MENOPE) yang dinaungi oleh Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE.
Pameran tersebut bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di mana beliau akan turut bertemu dengan pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.
Bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Dubai, MIHAS@Dubai 2024 bakal menampilkan sebanyak 250 syarikat tempatan daripada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik dan gaya.