1MDB yakin dapat kurangkan hutang secara mendadak pada akhir tahun

Tan Su Lin, Mariah Ahmad
November 14, 2015 13:09 MYT
Arul Kanda menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa kerajaan termasuk 1MDB akan kerugian berikutan terpaksa menjual semua aset untuk melangsaikan semua hutangnya. - Foto Bernama
Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkata selepas syarikat itu melaksanakan pelan rasionalisasinya, 1MDB masih memiliki aset antara RM10-12 bilion.
Ia sekaligus menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa kerajaan termasuk 1MDB akan kerugian berikutan terpaksa menjual semua aset untuk melangsaikan semua hutangnya.
"Selepas proses rasionalisasi apa yang akan kami ada? Baki 40 peratus Bandar Malaysia bernilai RM4-5 bilion dan Tun Razak Exchange (TRX) masih kepunyaan kami walaupun kami telah menjual tanah pada tahun ini untuk membayar hutang dan membina infrastruktur.
Baki tanah di TRX dalam RM5-6 bilion itu masih kepunyaan kami. Kami juga mempunyai tanah di Ayer Hitam bernilai RM1bilion dan Pulau Indah RM300 juta. Jadi jumlah aset yg masih kepunyaan 1MDB atau dengan Kementerian Kewangan ialah RM10- 12 bilion," katanya pada Majlis Penerangan Perdana 1MDB, TPPA dan Bajet 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Menerusi pelan rasionalisasi itu kata Arul Kanda, hutang 1MDB dijangka akan dapat dikurangkan secara mendadak pada hujung tahun ini.
Jelasnya lanjut, pelan rasionalisasi syarikat itu melalui tiga tahap melibatkan penjualan aset, menggalak pelaburan ekuiti dan pemindahan aset.
"Pertamanya, kami menjual aset untuk mengurangkan hutang. Dengan penjualan stesen kuasa Edra Global Energy Bhd hutang 1MDB kurang RM16-18 bilion. Kedua, kerajaan ambil keputusan membawa pelabur ekuiti baru. Ini akan kami laksanakan dengan Bandar Malaysia di mana kami hendak jual 60 peratus ekuiti dalam syarikat tersebut dan ini akan kurangkan hutang sebanyak RM10-12 bilion."
Manakala peringkat ketiga kata Arul adalah menerusi pemindahan aset kepada Syarikat International Petroleum Investment Corporation (IPIC) di Abu Dhabi yang dapat mengurangkan hutang sebanyak RM16 bilion.
"Apabila mencongak pengurangan RM16-18 melalui Edra, RM10-12 bilion menerusi Bandar Malaysia dan RM16 bilion melalui IPIC, lebih RM42 bilion jadi seperti saya sebut sejak dari Januari lagi, aset 1MDB adalah melebihi hutang 1MDB," katanya.
#1MDB #Arul Kanda Kandasamy #Pandikar Amin Mulia #Parlimen
;