1MDB: Saya akan beri sepenuh kerjasama kepada PAC - Lodin
Astro Awani
Mei 12, 2015 22:53 MYT
Mei 12, 2015 22:53 MYT
Syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan memberi sepenuh kerjasama kepada prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang akan bermula 19 Mei ini.
Pengerusinya Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin bagaimanapun berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman untuk menghadiri prosiding siasatan berkenaan.
"Saya akan hadir jika dijemput untuk memberi keterangan. Saya juga masih belum memeriksa mengenai hal ini," katanya selepas merasmikan pusat beli belah Boustead's MyTown di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan memulakan prosiding siasatan 1MDB pada 19 Mei ini dengan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah.
Katanya, pada minggu berikutnya, 26 Mei 2015 pula akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika ini, Arul Kanda Kandasamy serta Mantan CEO 1MDB pertama, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang berkhidmat daripada tahun Mac 2009 hingga Mac 2013.
Bagaimanapun, Pengerusi Pusat untuk Kajian Dasar Awam Institut Kajian Strategi & Kepimpinan (ASLI), Tan Sri Dr Ramon Navaratnam menasihatkan PAC untuk menggunakan pakar antarabangsa sebagai rujukan dalam prosiding siasatan 1MDB.
Jelas Dr Ramin, ia sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap isu yang melibatkan sensitiviti rakyat akhir-akhir ini.