1MDB mula proses rundingan dan capaian dengan pemegang bon dolar AS

Najib Aroff
Mei 9, 2016 13:08 MYT
1MDB berkata ia memerhati rapat dan menguruskan proses tersebut dan melantik Albarez and Marsal Asia Limited sebagai penasihat kewangan.
1MDB memulakan proses perbincangan dengan pemegang bon dinominasi dolar susulan kemungkiran 1.75 bilion bon 1MDB Energy Langat Limited (Langat) pada kadar tetap 5.75 peratus yang akan matang pada 2022.
Dalam satu kenyataan, 1MDB berkata ia memerhati rapat dan menguruskan proses tersebut dan melantik Albarez and Marsal Asia Limited sebagai penasihat kewangan.
1MDB juga melantik DF King Limited bagi proses mengenal pasti pemegang bon dan proses pendaftaran.
Tambah syarikat itu, ia akan secara aktif berhubung dengan pemegang bon bagi langkah seterusnya, menerangkan latar belakang pertikaian dan menjelaskan mengapa 1MDB mengambil sikap tidak membayar faedah ke atas nota Langat.
1MDB menegaskan syarikat mempunyai pelan rasionalisasi yang sedang dijalankan yang membolehkan syarikat menunaikan tanggungjawab terhadap hutang sedia ada.
1MDB turut mengarahkan DF King untuk melancarkan laman mikro yang mengandungi maklumat berkaitan dan memberikan perkembangan semasa kepada pemegang bon.
Setelah mendaftar, pemegang bon boleh bertanya soalan secara dalam talian melalui laman sesawang tersebut.
Penggilan terhadap pemegang bon akan dilakukan pada 23 Mei dan perincian lanjut akan diumumkan kelak.
1MDB juga komited bekerjasama dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) untuk menyelesaikan isu pertikaian bon tersebut.
#1MDB #Albarez and Marsal Asia #bon 1MDB Energy Langat Limited #pemegang bon dinominasi dolar
;