17 kementerian lulus belanjawan peringkat Jawatankuasa termasuk tiga hari ini
Hasimi Muhamad
Disember 8, 2020 16:28 MYT
Disember 8, 2020 16:28 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan tiga lagi Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat Jawatankuasa, menjadikan 17 kementerian telah diluluskan setakat ini.
Tiga kementerian tersebut masing-masing Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat; serta Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Daripada tiga kementerian tersebut, RUU Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya diluluskan menerusi belah bahagian selepas menyaksikan seramai 109 wakil rakyat menyokong, 96 tidak menyokong, manakala 15 tidak hadir.
Keputusan itu dicapai selepas sesi penggulungan melibatkan ketiga-tiga menteri yang mewakili kementerian masing-masing.
Mesyuarat ditangguhkan pada Rabu, jam 10 pagi.
Untuk esok, RUU Perbekalan 2021 diteruskan dengan dua lagi kementerian yang dijangka menggulung perbahasan mengikut giliran seperti yang dijadualkan.
Ia membabitkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan berkenaan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Disember ini, sementara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Dis.
#Parlimen
#Dewan Rakyat
#Kementerian Kesihatan
#pelancongan
#Belanjawan 2021
#Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
#Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2021