12 negara termasuk Malaysia meterai Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik

Bernama
Februari 4, 2016 08:53 MYT
Majlis penandatanganan TPPA di ibu negara New Zealand ini adalah hasil rundingan yang sukar yang mengambil masa lima tahun dan 19 pusingan rundingan.
Dua belas negara, termasuk Malaysia, menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik di sini pada Khamis, pakatan perdagangan yang dijangka meluaskan pasaran, mengurangkan tarif dan mempromosi perdagangan yang lebih bebas.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menandatangani perjanjian perdagangan bebas komprehensif abad ke-21 bagi pihak Malaysia.
Pakatan perdagangan itu mewakili hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global bernilai AS$30 trilion.
Majlis penandatanganan TPPA di ibu negara New Zealand ini adalah hasil rundingan yang sukar yang mengambil masa lima tahun dan 19 pusingan rundingan.
Dua belas negara anggota TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.
Sebahagian besar negara berkenaan merupakan rakan dagang utama Malaysia.
TPPA bermatlamat menggalakkan penyepaduan ekonomi bagi meliberalisasikan perdagangan dan pelaburan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi serta manfaat sosial.
Lebih daripada 90 peratus manfaat ekonomi disumbangan menerusi langkah-langkah bukan tarif yang lebih rendah.
Ia juga dijangka mewujudkan peluang-peluang baharu untuk pekerja dan perniagaan, menyumbang kepada meningkatkan taraf hidup 600 juta penduduk, memberi manfaat kepada pengguna, mengurangkan kemiskinan serta menggalakkan pertumbuhan mampan.
BACA: 12 tandatangan dan termaktub perjanjian perdagangan baharu TPPA
#Mustapa Mohamed #New Zealand #pelaburan asing #perdagangan antarabangsa #TPPA
;