11 negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dijangka memutuskan masa depan perjanjian itu semasa mesyuarat peringkat menteri-menteri perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Vietnam, Mei ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, menteri yang bertanggungjawab terhadap TPP dijangka bertemu semasa mesyuarat itu untuk menentukan tindakan seterusnya.

Beliau berkata, Malaysia terbuka kepada sebarang cadangan berkaitan TPP, sama ada memeterai perjanjian dua hala atau membentuk sebuah lagi perjanjian baharu tanpa penyertaan Amerika Syarikat (AS)

Bagaimanapun, katanya, keputusan berkenaan akan bergantung kepada persefahaman bersama yang dicapai semasa mesyuarat berkenaan.

"(Perjanjian) dua hala adalah satu perkara, dan perjanjian antara 11 (negara) pula berbeza, bagaimanapun ia memerlukan rundingan semula besar-besaran secara adil mengenai banyak isu dan ia akan menjadi sukar.

"Mungkin (perjanjian) dua hala dengan negara yang kita belum ada perjanjian dengan mereka, termasuk Kanada, Mexico dan Peru, merupakan satu pilihan yang lebih baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan dengan sektor swasta sempena Tahun Baharu Cina anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensinya di sini.

Pada 23 Jan, Presiden AS Donald Trump menandatangani Perintah Eksekutif untuk mengeluarkan AS daripada TPP, selepas rundingan berlangsung selama lima tahun.

11 negara peserta TPP lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2016 yang berkembang pada 4.5 peratus, beliau berkata kementerian itu akan terus berusaha untuk menggalakkan pertumbuhan pelaburan dan perdagangan.

"Ini memerlukan kita untuk lebih agresif dalam promosi pelaburan dan perdagangan di mana kita harus pastikan Malaysia dapat terus menarik pelaburan asing di samping meningkatkan pelaburan domestik.

"Kita lihat terdapat pertumbuhan eksport yang baik pada bulan November dan Disember yang telah menyumbang kepada pertumbuhan KDNK yang baik pada suku keempat dan kita harapkan corak ini akan berterusan pada tahun ini," katanya.

-- BERNAMA