1,700 paras sokongan baharu Bursa
Pritha Manivannan
Mac 7, 2016 15:18 MYT
Mac 7, 2016 15:18 MYT
Indeks petunjuk pasaran utama Bursa Malaysia, FBM KLCI buat pertama kalinya mencecah paras 1,700 mata pada pembukaan Isnin.
Kali terakhir ia berada pada paras itu ialah pada 26 Oktober tahun lepas.
Menurut Ketua Strategi Phillip Capital Phua Lee Kerk, ini susulan harga minyak mentah global yang semakin stabil dan ringgit yang mengukuh ke 4.07 berbanding dolar Amerika.
Selain itu, beliau berkata, data pekerjaan lebih lemah berbanding jangkaan yang dicatatkan Amerika Syarikat dan pelan Parti Komunis China untuk menguruskan pertumbuhan mampan juga mendorong prestasi Bursa ini.
Tambah beliau, ini merupakan paras psikologi baru didorong peningkatan selera risiko pelabur.
"Saya percaya momentum pasaran meningkat tetapi dalam proses tersebut kita boleh mengharapkan pengambilan untung.
"Ia tidak akan sentiasa lancar dengan trend meningkat setiap hari tetapi pasaran akan meningkat ke paras yang lebih tinggi berbanding hari ini. Paras sokongan serta-merta ialah 1720 mata," kata Phua.
Ringgit meningkat, dijangka terus naik minggu ini
Dalam pada itu, ringgit semakin mengukuh dalam dagangan awal Isnin apabila dibuka tinggi pada kadar RM4.07 berbanding dolar Amerika.
Prestasi positif matawang tempatan terus disokong oleh peningkatan pada minat belian.
Menurut Phua, ini juga berikutan susutan dolar Amerika ekoran data pekerjaan negara itu yang lebih lemah dari jangkaan dan peningkatan harga minyak mentah global.
Turut mempengaruhi dagangan ialah kebimbangan pasaran mengenai kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika (The Fed) meningkatkan kadar faedahnya sekali lagi.
"Melihat kepada persekitaran kini, ringgit akan mencecah kembali nilai RM3.80 berbanding dolar dalam bulan ini," kata Phua.
#Bursa Malaysia
#dolar amerika
#fbm klci
#Ketua Strategi Phillip Capital Phua Lee Kerk
#ringgit
#Rizab Persekutuan Amerika
#The Fed