TUDM Subang Pusat Pengumpulan Pembekalan Makanan mangsa banjir

Bernama
Disember 26, 2014 16:57 MYT
Pengaktifan itu dibuat oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin setelah menerima amanat daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar Fail
Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, telah diaktifkan sebagai Pusat Pengumpulan Pembekalan Makanan mangsa banjir, yang beroperasi 24 jam.
Pengaktifan itu dibuat oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin setelah menerima amanat daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.
Bahagian Hal Ehwal Awam, Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan, hari ini, berkata mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak yang ingin membuat sumbangan boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Pertahanan di talian 03-26985414 dan 03-26945434.
"Atau kepada Ketua Staf Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap di talian 019-2360513 atau Asistan Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan di talian 019-6648981," katanya.
Sehingga petang ini keadaan banjir menjadi semakin serius dengan Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir selain Pahang, Terengganu, Kedah dan Perak, yang melibatkan jumlah terkini mangsa banjir dipindahkan seramai 118,896 orang.
#Alor Setar #banjir #Kedah #Kelantan #Pahang dan Perlis #Perak #Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin #terengganu #TUDM
;