Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat banjir besar Kelantan - Irmohizam

Astro Awani
Januari 6, 2015 10:59 MYT
IRMOHIZAM: Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat banjir besar Kelantan - Gambar fail
Sebuah Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar bencana banjir besar di Kelantan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, ia perlu untuk mengelakkan pelbagai pihak tuduh-menuduh dan mencari kesalahan selepas kejadian yang memberi kesan buruk kepada rakyat negeri itu.
"Kerajaan Pusat boleh lantik sesiapa sahaja yang difikirkan boleh menggalas tanggungjawab itu.
"Bila adanya suruhanjaya sebegini, ia sekali gus mengelakkan pergaduhan, tuding jari sesama kita dan menyelesaikan perkara yang kita semua mahu tahu," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Irmohizam mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, menafikan fenomena banjir itu berlaku disebabkan pembukaan tanah secara besar-besaran di kawasan Ulu Kelantan, sebaliknya disebabkan taburan tinggi hujan yang berlaku di kawasan berkenaan.
Jelas Irmohizam yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) lagi, kerajaan negeri perlu bekerjasama dan memberikan fakta tepat berkenaan bencana banjir itu kepada rakyat negeri Kelantan.
"Saya di Kelantan dan semasa dalam perjalanan menyusuri Sungai Kelantan menggunakan sampan dari Kuala Besar di Kota Bharu ke Pantai Suri, Tumpat, saya sendiri lihat banyak kemusnahan akibat hakisan banjir.
"Saya juga lihat sebuah jambatan roboh yang dirempuh kayu balak hanyut menerusi Sungai Kelantan. Ia menyusahkan nelayan di pulau-pulau berhampiran untuk mencari rezeki.
"Penduduk sekitar juga terpaksa menggunakan air sungai berlumpur untuk keperluan harian," katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan kegiatan pembalakan haram yang tidak terkawal di Kelantan merupakan faktor utama banjir besar berlaku di negeri itu.
Tegas Shahidan, penanaman semula pokok perlu dilakukan bagi mengelak negeri itu dilanda banjir besar sekali lagi.
Terdahulu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang juga dilaporkan mencadangkan sebuah jawatankuasa bertindak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat perlu ditubuhkan bagi menangani masalah banjir yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung.
#banjir #diraja #Irmohizam #Kelantan #LKIM #shahidan.umno #siasatan
;