TNB bersama TUDM lancar Ops Kilat bantu mangsa banjir

Israr Khalid
Disember 26, 2014 11:32 MYT
Kelantan merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara tahun ini, diikuti Terengganu dan Pahang. -Gambar fail
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama 70 Rejimen Pakar Bekalan Elektrik, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar bekalan bantuan kemanusiaan untuk mangsa-mangsa banjir di Kelantan menerusi Ops Kilat, hari ini.
Satu upacara simbolik penyerahan bantuan bekalan kemanusiaan tersebut berlangsung di Dataran TNB, Ibu Pejabat TNB, Bangsar.
Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Naib Presiden Sumber Manusia TNB, Datuk Muhammad Razif Abdul Rahman telah mewakili TNB untuk upacara penyerahan tersebut.
Manakala pihak TUDM diwakili Ketua Jurutera Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Ir Abdul Nasser Ahmad dan Pemerintah Rejimen Jurutera (Senggara Perhubungan), Leftenan Kolonel Md Sidek Abbas mewakili RAJD.
Bantuan kemanusiaan seberat 12,000 kilogram diterbangkan dari Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan pada jam 12 tengah hari.
Antara bantuan yang dihantar adalah barangan keperluan asas yang amat diperlukan mangsa banjir seperti makanan, minuman, pakaian serta lain-lain keperluan.
Selain Kelantan, TNB turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu dan akan melakukan perkara sama untuk mangsa banjir di Pahang dan Perak serta kawasan lain dalam masa terdekat.
Kelantan merupakan negeri yang paling teruk terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara tahun ini, diikuti Terengganu dan Pahang.
#Dataran TNB #Rejimen Askar Jurutera DiRaja #Rejimen Pakar Bekalan Elektrik #Tenaga Nasional Berhad #Tentera Udara Diraja Malaysia #TNB
;