Teliti semula SOP pengurusan bencana negara - Muhyiddin
Bernama
Disember 28, 2014 08:38 MYT
Disember 28, 2014 08:38 MYT
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu prosedur operasi standard (SOP) pengurusan bencana negara diteliti semula bagi mengurangkan beban dan mengelakkan kerugian besar pada masa akan datang.
Timbalan Perdana Menteri berkata ini termasuk keperluan mempunyai sistem ramalan cuaca yang lebih efisyen bagi memudahkan persiapan menghadapi bencana.
Muhyiddin berkata beliau diberitahu ramalan cuaca yang diperoleh daripada Jabatan Meteorologi adalah ramalan awal berdasarkan situasi tahun sebelumnya.
"Tapi bila masuk bulan Disember, cuaca berubah dan keadaan lebih mencabar berbanding laporan awal.
"Jadi, ramalan cuaca mesti tepat dalam tempoh tiga, empat hari supaya perancangan menguruskan bencana dapat diselarikan dengan tempoh sebenar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat berhubung keadaan terkini banjir di Pusat Kawalan Bencana Negara di Puchong di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata selain itu, Malaysia juga perlu lebih banyak mempelajari sistem pengurusan bencana dari negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan yang diketahui mempunyai sistem pengurusan bencana antara yang terbaik di dunia.
Bagi mengurangkan beban kos pengurusan jangka panjang, beliau mahu lebih banyak 'lebuh raya air' dibina di negeri-negeri berisiko banjir termasuk membina terusan dan parit yang boleh menampung air pada skala yang lebih besar.
"Jadi, kalau berlaku banjir (impaknya) tidaklah sebesar sekarang. Dan kita nak elak kerugian yang amat besar," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata kerajaan akan melihat keperluan Malaysia memiliki aset terkini darat, udara dan air yang boleh digunakan semasa waktu bencana.
"Melihat kepada perubahan cuaca global, Malaysia juga tidak terkecuali. Aset untuk kegunaan waktu sukar mungkin perlu. Yang perlu disediakan seperti bot dan helikopter berkuasa besar," jelasnya.
Mengulas situasi banjir terkini yang telah melanda lapan negeri, Muhyiddin berkata kerajaan sedang berbincang untuk menambah empat buah helikopter untuk digunakan bagi menghantar bantuan dan bekalan ke lokasi yang memerlukan.
Dalam taklimat sejam itu, Muhyiddin berkata beliau telah mengarahkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) untuk menyelaraskan segala tindakan bagi menangani masalah banjir dan menjaga kebajikan rakyat di negeri-negeri terbabit.
"Pusat ini boleh beroperasi 24 jam dan mereka yang bertanggungjawab boleh mendapatkan maklumat terkini secara 'real time'.
"Ini dapat membantu menyelesaikan isu-isu dan masalah di kawasan terbabit walaupun tidak dapat turun padang," katanya.
Muhyiddin berkata NDCC juga akan diperkukuh dan diurus dengan lebih proaktif supaya bencana yang berlaku dapat diberi perhatian dalam masa yang sewajarnya.
Selepas taklimat itu, beliau turut mengadakan sidang video dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman untuk mendapatkan laporan terkini situasi banjir di dua negeri tersebut.
Selain bertanyakan isu bekalan makanan, keperluan dan air bersih serta komunikasi, Timbalan Perdana Menteri juga mahu usaha-usaha pasca banjir dipergiatkan termasuk dengan menggerakkan sukarelawan dari NGO dan syarikat korporat.
Katanya, selain urusan pembersihan rumah dan sekolah, aspek kesihatan dan trauma mangsa-mangsa banjir perlu diberi perhatian.
Muhyiddin dijadual melawat dua negeri tersebut Isnin ini.
#Jabatan Meteorologi
#pengurusan bencana banjir
#SOP
#Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin