SMK Dabong sedaya upaya mahu kembali seperti asal
Hamzah Hamid
Januari 11, 2015 13:28 MYT
Januari 11, 2015 13:28 MYT
Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, Kuala Krai berharap kepayahan usaha membersihkan semula kesan kerosakan dan kotoran akibat banjir di sekolah berkenaan segera berakhir agar sesi persekolahan tahun 2015 dapat dimulakan dengan seselesa mungkin.
“Hari ini pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat membantu membersihkan kawasan sekolah daripada kesan kemusnahan akibat banjir.
“Beberapa rejimen telah dikerahkan untuk berkhidmat di daerah ini, dan di sekolah ini kerja-kerja pembersihan dijalankan dengan keterlibatan para sukarelawan dan juga tenaga pengajar sekolah,” ujar seorang tenaga pengajar yang enggan namanya disiarkan.
Menurutnya, baru dua buah blok telah selesai dibersihkan, iaitu bangunan pentadbiran dan juga bangunan makmal. Lapisan lumpur tebal bukan sahaja 'menghampar' segenap sudut berpijak di sekolah itu, malah terpalit hingga ke dinding, perabot dan barangan sekolah mengikut paras kenaikan air bah.
“Kami memberi tumpuan pembersihan awal di bahagian makmal kerana di situ terdapat banyak bahan kimia yang perlu dipastikan keadaan dan keselamatannya,” ujarnya yang dihubungi Astro AWANI.
Blok-blok lain yang terdiri daripada kuarters guru, kelas belajar dan kantin masih banyak kerja pembersihan dan pengasingan barangan musnah yang perlu dilakukan.
Ketika kawasan Kuala Krai dilanda bah besar tersebut, kawasan sekolah yang mempunyai kira-kira 900 orang pelajar itu turut ditenggelami air sehingga mencapai paras tingkat dua bangunan.
“Setakat ini, hanya barangan dan alatan bantuan mengajar tertentu yang dapat diselamatkan, dibersihkan dan digunakan semula.
“Di bilik guru misalnya, kebanyakan buku terpaksa dibuang. Perabot kayu juga tidak lagi boleh digunakan kerana kesemuanya telah kembang. Yang tinggal hanyalah beberapa alat bantu mengajar yang selamat kerana berbungkus plastik,” ujar sumber tersebut.
Antara beberapa barangan alat bantu mengajar yang diselamatkan di SMK Dabong kerana boleh dibersihkan dan digunakan semula. - Foto sumber Astro AWANI
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan media telah mengumumkan penangguhan sesi persekolahan buat SMK Dabong dan beberapa sekolah rendah lain di Kelantan hingga ke tarikh 18 Januari 2015.
Berdasarkan tarikh tersebut, tinggal lagi tujuh hari kerja-kerja pembersihan perlu diselesaikan dan itu merupakan cabaran buat semua pihak yang terlibat dalam usaha pembersihan di SMK Dabong.
“Saya telah bertanya kepada beberapa petugas ATM dan sukarelawan lain tentang hal tersebut. Kalau diikutkan, kami memerlukan antara sebulan atau lebih untuk kerja-kerja pembersihan dan pemulihan sepenuhnya,” katanya.
Namun begitu, pihak sekolah percaya jika mereka mendapat kerjasama daripada lebih banyak pihak, maka akan lebih pantas sekolah itu dapat dikembalikan seperti keadaan asal.
“Setakat ini, selain anggota ATM dan sukarelawan serta para guru cuba sedaya upaya melakukan apa yang termampu, ada juga ibu bapa dan para pelajar yang bertanyakan keadaan sekolah ini.
“Namun, kami juga memahami keadaan mereka. Mereka juga mangsa banjir dan berdepan dengan kesulitan masing-masing di kediaman mereka,” katanya.
SMK Dabong merupakan satu-satunya sekolah menengah di Kelantan yang berada dalam senarai penangguhan sesei pembelajaran tahun 2015 kerana terkesan dengan bencana banjir.
Terdapat tiga buah sekolah rendah di daerah berkenaan yang turut terjejas teruk iaitu SK Dabong, SK Kemubu dan SK Kuala Krai.
Berikut adalah beberapa gambar kerosakan akibat bencana banjir dan keadaan semasa dari SMK Dabong:
Keadaan yang menyedihkan di dalam salah sebuah bilik darjah SMK Dabong. - Foto sumber Astro AWANI
Lambakan lumpur yang masih menunggu usaha pembersihan di SMK Dabong. - Foto sumber Astro AWANI
Para sukarelawan dan tenaga pendidik SMK Dabong berehat seketika setelah penat membantu kerja pembersihan. - Foto sumber Astro AWANI
Antara barangan rosak akibat banjir sedang dikumpulkan di salah sebuah blok SMK Dabong. - Foto sumber Astro AWANI