Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengambil keputusan untuk membatalkan semua acara hiburan dan program 'Temasya Selangor 15' menjelang Tahun Baharu 2015 sebagai tanda solidariti terhadap mangsa banjir di negeri Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata Selangor juga telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk membatalkan program Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Disember di I City, atas prinsip yang sama.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

"MMKN telah meluluskan RM1 juta untuk kerajaan negeri Kelantan dan RM100,000 masing-masing untuk kerajaan negeri Terengganu, Pahang dan Perak.

"Selangor juga menyediakan peruntukan RM200,000 bagi misi bantuan kemanusiaan melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS)," katanya di dalam satu sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Azmin turut berkata Selangor mengesa agar Kerajaan Persekutuan meluluskan geran bantuan bencana alam secepat mungkin bagi membantu kerajaan - kerajaan negeri mengatasi bencana banjir serta meringankan beban yang dialami rakyat dalam tempoh yang getir ini.

Azmin akan berlepas ke Kelantan hari ini untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan meninjau keadaan mangsa banjir di sana.