Pengurusan Taman Tamadun Islam nafi Masjid Kristal ditutup kerana dinaiki air
Bernama
Disember 24, 2014 18:46 MYT
Disember 24, 2014 18:46 MYT
Taman Tamadun Islam Management Sdn Bhd (TTIMSB) hari ini menafikan menutup Masjid Kristal berikutan dinaiki air akibat fenomena air pasang yang berlaku kini.
Pengarah Urusan TTIMSB Wan Adnan Wan Derahman berkata operasi di taman berkenaan termasuk di Masjid Kristal berjalan seperti biasa dan penutupan hanya dilakukan pada 12 tengah malam, mengikut jadual.
"Orang ramai masih boleh bersolat di Masjid Kristal. Malah setiap malam, masjid itu dipenuhi jemaah untuk solat Maghrib dan Isyak manakala restoran B Benteng juga beroperasi dengan lancar.
"Keadaan selepas solat Isyak agak meriah ketika ini apabila ramai jemaah mengambil kesempatan menyaksikan fenomena air pasang dengan lebih dekat walaupun ia berbahaya kepada mereka," katanya kepada Bernama, mengulas khabar angin kononnya Masjid Kristal dinaiki air akibat fenomena itu.
Masjid Kristal adalah sebahagian produk pelancongan di Taman Tamadun Islam (TTI) yang mula beroperasi sejak April 2008.
Wan Adnan berkata fenomena air pasang kali ini dengan bacaan antara 2.7 dan 2.8 meter, lebih tinggi berbanding pada 2009 yang merekodkan paras air setinggi 2.6m.
Beliau berkata pengurusan TTI berkemungkinan menutup kawasan itu lebih awal, sekitar 10 malam atas faktor keselamatan berikutan ia menjadi tumpuan orang ramai menyaksikan fenomena air pasang itu.
"Kita tidak mahu menanggung sebarang risiko. Penutupan awal kawasan ini akan dilakukan bagi mengelak lebih ramai pengunjung datang menyaksikan fenomena itu," katanya.