Penghataran perabot dan buku teks ke sekolah dijangka selesai akhir Januari
Bernama
Januari 18, 2015 19:36 MYT
Januari 18, 2015 19:36 MYT
Kementerian Pendidikan memberi jaminan penghantaran perabot dan buku teks ke sekolah yang terjejas banjir baru-baru ini akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya akhir bulan ini bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan 2015.
Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata ketika ini urusan percetakan buku serta pesanan perabot sedang giat dilakukan, namun proses itu memerlukan sedikit masa berikutan tempahan yang dibuat adalah pada skala besar.
"Buku-buku teks yang dicetak semula itu mengambil masa sehingga lebih dua minggu untuk disiapkan. Jadi saya jangka akhir bulan ini perkara tersebut dapat diatasi dengan baik kerana banyak buku perlu diganti semula," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Taylor's University dalam majlis pelancaran Kerjasama Strategik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan IPT Swasta di Pusat Pembelajaran Digital Sultanah Nur Zahirah di UMT di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo dan Naib Canselor dan Presiden Taylor's University, Prof Datuk Dr Hassan Said.
Dalam perkembangan sama, Idris berkata tumpuan pihak kementerian ketika ini adalah untuk menyegerakan penghantaran kemudahan asas seperti buku serta perabot manakala bagi peralatan makmal dan lain-lain, urusan itu berkemungkinan membabitkan tempoh masa lama.
Katanya, kerosakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pendidikan dalam musibah banjir dianggarkan berjumlah hampir RM500 juta.