Pemuda UMNO lancar tabung banjir
Wan Syamsul Amly
Disember 26, 2014 17:53 MYT
Disember 26, 2014 17:53 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) turut bersama agensi bantuan lain dengan melancarkan Tabung Bantuan Banjir Pemuda UMNO Malaysia untuk mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.
Penolong Setiausaha PPUM, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz berkata, rakyat Malaysia serta syarikat-syarikat korporat dirayu untuk menyumbang dana bagi meringankan beban mangsa banjir yang amat memerlukan.
"Kita rakamkan setinggi penghargaan kepada syarikat Tune Talk dan NAZA Group yang tampil ke hadapan sebagai penyumbang pertama untuk Tabung Bantuan Banjir Pemuda UMNO Malaysia dengan sumbangan sebanyak RM30,000 setiap syarikat.
"Rakyat atau syarikat korporat yang berhasrat untuk menderma boleh menyalurkan sumbangan ke Akaun Pemuda UMNO Malaysia 14200004057058 (CIMB) atau cek atas nama Pemuda UMNO Malaysia.
"Semua dana yang dikumpul dan penyaluran dana akan dilakukan secara telus dan terbuka. PPUM akan menyenaraikan segala transaksi berhubung Tabung Bantuan Banjir Pemuda UMNO Malaysia," katanya ketika merasmikan tabung berkenaan di PWTC di sini hari ini.
Sahfri menjelaskan, dia juga sudah berhubung dengan Ketua-Ketua PPUM Negeri agar kutipan Tabung Bantuan Banjir Pemuda UMNO Malaysia ini akan digerakkan dengan serta-merta di setiap negeri melalui PPUM Negeri masing-masing.
"Dari segi penyaluran dana Tabung Bantuan Banjir Pemuda UMNO Malaysia dan fokus gerak kerja, PPUM akan mengkhususkan bantuan kepada keperluan mangsa selepas air surut.
"Sepasukan lima orang doktor perubatan dari Biro Profesional Muda (BPM) PPUM dan Malaysian Doctors Club (MDC) kini bersiap-sedia pada bila-bila masa untuk ke negeri-negeri yang terlibat dengan banjir untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa-mangsa di pusat-pusat pemindahan banjir," jelasnya.
Namun ujarnya, penghantaran pasukan doktor ini tertakluk kepada kebenaran Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Keselamatan Negeri yang bertanggungjawab mengkoordinasi tahap keselamatan dan pergerakan darat serta udara untuk ke negeri-negeri terlibat.
"Paling awal, mereka dijangka akan masuk ke pusat pemindahan banjir pada hari Sabtu (27 Disember 2014) atau Ahad (28 Disember 2014) ini.
"Gerak kerja sukarelawan PPUM akan lebih tertumpu kepada pasca banjir, iaitu selepas air surut seperti usaha pembersihan, gotong-royong pembinaan berskala kecil dan penyaluran keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
"Selain daripada barangan asas, PPUM akan mengerahkan jentera sukarelawan PPUM untuk turun ke kawasan-kawasan yang terjejas sebaik sahaja air banjir surut," katanya.
Tambahnya, PPUM akan terus memantau perkembangan banjir yang melanda dan jentera PPUM di negeri-negeri diarahkan untuk bersiap siaga bagi memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir pada bila-bila masa.
"Kita juga ingin mengingatkan pihak tertentu supaya tidak terus menaburkan fitnah dan provokasi terhadap pimpinan negara dalam isu banjir sebaliknya meminta mereka dan kita semua supaya bersatu-padu untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir di seluruh negara," jelasnya.
#Alor Setar
#banjir
#Kedah
#Kelantan
#Muhyiddin Yassin
#Pahang dan Perlis
#Pemuda UMNO
#Perak
#terengganu