Pasca banjir: Penduduk Manek Urai berusaha bangkit kembali

Astro Awani
Januari 8, 2015 11:35 MYT
Penduduk Manek Urai yang tinggal sehelai sepinggang selepas banjir, sedang berusaha untuk bangkit dari kesannya. - Gambar fail
"Kami tidak tahu di mana hendak kami mulakan kerana semuanya sudah tiada, kami hanya sehelai sepinggang."
Itulah yang diluahkan oleh sebilangan besar penduduk Manek Urai Baru di Kelantan yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda baru-baru ini.
Menurut seorang ibu tunggal, Meknab Awang Mat, 56 tahun, pada masa ini beliau hanya memiliki kad pengenalan tiga anaknya serta surat beranak, yang lain entah di mana.
Beliau masih bernasib baik kerana masih mempunyai rumah, namun kesemua peralatan rumah musnah manakala rumahnya juga rosak dan senget dibadai air dan lumpur.
Kini, beliau hanya mampu termenung dan buntu memikirkan apa yang perlu dilakukan memandangkan air bersih dan elektrik masih tiada.
Menurut Meknab lagi, tiga anaknya menjalankan kerja pembersihan membuang lumpur di rumah.
Beliau kini menumpang di rumah sanak-saudara untuk memasak dan tidur.
Senasib dengan beliau adalah penduduk-penduduk lain termasuk Osman Hamzah, 60 tahun, yang ketagih untuk bantuan kelengkapan rumah termasuk tilam dan dapur.
Luahan ini merupakan hanya sebahagian daripada rintihan penduduk daerah Kuala Krai yang terjejas teruk akibat bencana banjir.
#banjir #Kuala Krai #manek urai #Penduduk
;