Mohd Khairi bantu mangsa banjir dengan usaha sendiri

T K Letchumy Tamboo
Januari 1, 2015 15:02 MYT
Mohd Khairi Awang adalah seorang individu yang tidak mengaitkan dirinya dengan mana-mana syarikat besar, tetapi membantu mangsa-mangsa banjir dengan usaha sendiri.
Banyak syarikat-syarikat besar yang telah menyumbangkan wang, masa dan tenaga untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.
Namun, ada seorang individu yang tidak mengaitkan dirinya dengan mana-mana syarikat besar, tetapi turut membantu mangsa-mangsa banjir dengan usaha sendiri.
Bukan sahaja itu, individu bernama Mohd Khairi Awang itu turut memendekkan percutiannya di Langkawi, untuk membantu mangsa-mangsa banjir itu.
Apabila ditanyakan mengapa beliau berbuat demikian, beliau memberikan dua sebab.
“Satu, atas dasar peri kemanusiaan. Dua, saya bersimpati dengan keadaan yang dialami,” kata warga Perak itu yang berumur 39 tahun.
Menceritakan pengalaman beliau, Mohd Khairi berkata sebaik balik dari Langkawi, beliau bertekad untuk membawa barangan keperluan kepada mangsa banjir dengan kenderaan pacuan empat rodanya.
“Saya telah meminta rakan-rakan saya untuk turut menghulurkan bantuan dari segi keperluan dan sebagainya, melalui sms dan Facebook saya. Saya mendapat sambutan yang begitu baik. Ada juga yang memberikan wang tunai.
“Saya telah menggunakan wang tunai itu untuk memberi barangan keperluan dan memandu sendiri ke Terengganu dan Kelantan untuk menyampaikannya,” katanya sambil menambah oleh kerana beliau bekerja sendiri, beliau ada ruang untuk menghabiskan waktu bersama mangsa-mangsa banjir dan menolong mereka.
Mohd Khairi berkata keadaan di sekitar kawasan yang dilawatinya, terutamanya Kuala Krai dan Manik Urai memang menyedihkan.
“Saya dengar cerita ada seorang warga tua yang lumpuh separuh badan, menggagahkan dirinya untuk memanjat sebuah bukit untuk menyelamatkan dirinya dari banjir.
“Kanak-kanak yang saya temui pula semuanya mengalami trauma,” katanya.
Mohd Khairi akan bergerak ke Temerloh dan Pekan Ahad ini, untuk membantu mangsa-mangsa banjir di sana pula.
#banjir #individu #Mohd Khairi Awang #Pantai Timur #Tolong
;