Misi Belia Prihatin turun padang bantu mangsa banjir

Astro Awani
Disember 24, 2014 08:37 MYT
Misi Belia Prihatin turun padang bantu mangsa banjir - Gambar fail
Lebih 200 orang kumpulan sukarelawan pertama Majlis Belia Malaysia (MBM) digerakkan ke Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam misi Belia Prihatin untuk membantu mangsa banjir di lokasi berkenaan.
Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama kepada semua agensi bantuan bencana yang telah diwujudkan dan digerakkan oleh kerajaan.
"Atas dasar rasa keprihatinan yang mendalam, MBM dan Kementerian Belia dan Sukan bersama seluruh badan gabungan MBM mengerakkan operasi bantuan Misi Belia Prihatin kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
"Beberapa badan gabungan MBM telah pun memulakan khidmat bantuan seawal mungkin kepada mangsa bencana banjir.
"Kita turut mengharapkan bantuan orang ramai dalam menjayakan misi ini dengan memberi sumbangan dalam bentuk wang, tenaga dan idea agar Misi Belia Prihatin ini dapat berjalan lancar dan jayanya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Mohamed Maliki, sumbangan boleh disalurkan ke pusat-pusat pengumpulan di ibu pejabat Majlis Belia Malaysia, Gerakan Belia 4B dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang berpusat di ibu negara.
"MBM juga membuka ruang kerjasama kepada syarikat-syarikat perniagaan dan korporat untuk bersama-sama merealisasikan rasa kebersamaan dengan memberi sumbangan keperluan atau perkhidmatan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
"Orang ramai yang mahu menderma juga boleh menghubungi ketua sekretariat misi yang juga Naib Presiden MBM, Wan Salwati Hj Abdullah di talian 019 3072957 atau Penolong Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparuddin Yusup di talian 013 3734934," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, MBM turut mengharapkan bantuan orang ramai dalam menjayakan misi ini dengan memberi sumbangan dalam bentuk wang, tenaga dan idea agar Misi Belia Prihatin ini dapat berjalan lancar dan jayanya.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Sekretariat MBM di talian 03 91732761/63.
#banjir #derma #KBS #Kelantan #mangsa #MBM #sukarelawan