Kerajaan perlu tanggung yuran PIBG anak mangsa banjir - Puteri Umno
Astro Awani
Januari 6, 2015 15:00 MYT
Januari 6, 2015 15:00 MYT
Kerajaan disaran menanggung sepenuhnya yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) anak-anak mangsa banjir di semua negeri bagi meringankan bebanan pelajar dan ibu bapa mereka selepas dilanda banjir teruk.
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah itu tentu sekali melegakan ibu bapa dan membolehkan mereka menggunakan wang yang sepatutnya dibayar kepada tabung PIBG untuk keperluan lain yang lebih mendesak selepas banjir berakhir.
"Jika yuran PIBG sekadar ditangguhkan, ibu bapa terutama mereka yang mempunyai ramai anak tetap tidak mampu untuk membayar pada bulan-bulan akan datang berikutan situasi sukar yang dihadapi dalam membina kehidupan baharu selepas kehilangan rumah dan harta benda akibat banjir.
"Puteri Umno yakin jika cadangan itu dilaksanakan, ia akan menjadi satu hadiah yang sangat bermakna untuk mangsa banjir, khususnya keluarga yang terjejas teruk akibat bencana alam itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan yuran persekolahan bagi anak-anak mangsa banjir ditangguhkan sehingga pertengahan atau akhir tahun ini bagi meringankan beban ibu bapa mereka.
Mas Ermieyati berkata, yuran PIBG yang kebiasaannya antara RM50 hingga RM200 untuk seorang pelajar bukan satu jumlah yang kecil bagi keluarga yang langsung tidak berkemampuan kerana mengalami kerugian yang besar apabila segala harta benda musnah akibat banjir.
"Pihak kerajaan dan PIBG sekolah wajar memberi perhatian terhadap perkara tersebut.
"Saya juga sebagai ibu merasai tekanan dialami ibu bapa yang perlu menanggung pelbagai keperluan anak-anak dan ia melibatkan perbelanjaan yang bukannya sedikit," jelasnya.
Tambahnya, prestasi PIBG setiap sekolah bukan diukur pada kemewahan jumlah tabung sebaliknya dilihat daripada aspek kejayaan pelajar-pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum.
"Pihak PIBG juga boleh membantu kerajaan dengan mengurangkan jumlah yuran tersebut untuk musim ini sahaja. PIBG bukan satu badan korporat yang perlu memikirkan keuntungan untuk tabung itu semata-mata.
"Usaha ini hanyalah sebagai salah satu langkah bagi meringankan beban mangsa banjir. Pihak lain juga harus turut sama menyumbang dan kita tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan untuk menguruskan soal pendidikan," katanya.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut meminta syarikat-syarikat swasta supaya tampil menghulurkan bantuan alat tulis, buku dan pakaian seragam sekolah kepada pelajar yang terlibat dengan bencana banjir.
#banjir
#bebanan
#ibu bapa
#kerajaan
#mangsa
#Mas Ermieyati Samsudin
#pelajar
#PIBG
#tanggung
#yuran