Kawasan 460 hektar untuk bina rumah mangsa banjir di Kuala Krai dan Gua Musang
Bernama
Januari 21, 2015 07:36 MYT
Januari 21, 2015 07:36 MYT
Kerajaan Kelantan mengenal pasti kawasan seluas 460 hektar di Kuala Krai dan Gua Musang bagi pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir yang kehilangan kediaman akibat bencana itu bulan lepas.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 360 hektar tanah dikenal pasti di Kuala Krai manakala 100 hektar lagi di Gua Musang.
Kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan akan membina rumah kekal berkenaan di kawasan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Menurutnya perkara itu dipersetujui oleh kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan pada mesyuarat khas pelan tindakan pasca banjir yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya semalam.
Kerajaan Pusat mengumumkan dua model rumah setingkat tiga bilik bernilai RM48,000 seunit bagi pembinaan semula rumah mangsa banjir yang musnah sepenuhnya.
Muhyiddin berkata rumah berkeluasan 660 kaki persegi itu menggunakan kaedah binaan terus di atas tanah dan binaan di atas tiang setinggi lapan kaki dari aras tanah.
Rumah itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi.
Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan Kelantan akan membina 600 unit rumah kekal itu melalui dana yang disumbangkan pelbagai pihak di kawasan berkenaan manakala bakinya akan dibina kerajaan Pusat.
"Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan membiayai pembinaan 300 unit rumah manakala selebihnya daripada dana," katanya.
Menurutnya mangsa yang sebelum ini mendiami tanah rizab sungai tidak akan dibenarkan membina rumah di kawasan terbabit.
Beliau juga berkata kerajaan Pusat bersetuju memberi bantuan antara RM5,000 dan RM10,000 kepada mangsa yang mengalami kerosakan rumah.