Hospital Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah akan diberi bantuan segera - Kementerian
Azyyati Ahmad
Disember 27, 2014 12:25 MYT
Disember 27, 2014 12:25 MYT
Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti beberapa masalah yang dihadapi oleh tiga hospital utama negeri Kelantan iaitu Hospital Kuala Krai, Hospital Gua Musang dan Hospital Tanah Merah dalam menangani bencana banjir yang melanda negeri terbabit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam satu sidang media khas hari ini berkata ini adalah kali pertama kejadian banjir telah menyebabkan hospital-hospital utama turut terjejas sama kerana dinaiki air.
Dr. S. Subramaniam turut memberitahu bahawa beliau bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru sahaja pulang dari lawatan tergempar ke Hospital Kuala Krai pada Jumaat.
“Tidak dinafikan keadaan Hospital Kuala Krai sangat terdesak. Hospital tersebut seolah-olah pulau dikelilingi air serta keputusan bekalan air dan elektrik.
Selain Kuala Krai, Hospital Gua Musang dan Hospital Tanah Merah turut mengalami masalah yang sama dan akan diberi tumpuan dan bantuan segera. Manakala pesakit-pesakit dari Hospital Kota Bharu telah dipindahkan ke Hospital Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian kerana keadaannya yang lebih selamat” jelasnya sebaik sahaja mempengerusikan satu mesyuarat kecemasan menangani banjir oleh Kementerian Kesihatan.
Jelasnya, Hospital USM digunakan untuk menempatkan pesakit kritikal dan pesakit dari Hospital Kota Bharu kerana jarak perjalanannya yang dekat dan tidak mengambil masa yang lama.
Tambah Dr. S. Subramaniam, buat masa ini 35 pesakit kritikal dari Hospital Kuala Krai, dua dari Hospital Tumpat dan dua dari Hospital Pasir Mas telah dipindahkan ke Hospital USM Kubang Kerian.
Tiga lagi pesakit kritikal dari Kuala Krai akan dipindahkan hari ini.
Menceritakan mengenai lawatannya ke Hospital Kuala Krai, Dr. S. Subramaniam berkata kakitangan hospital di sana bekerja tanpa rehat sekitar lima hari banjir berlaku dan tidak dapat pulang ke rumah kerana turut dinaiki air.
Hospital berkenaan juga telah menjadi antara pusat pemindahan sementara 400 mangsa banjir yang lain dan menjadikan ia sesak dan tidak cukup kakitangan.
Sehubungan itu, Kementerian akan menghantar pegawai-pegawai kesihatan dari negeri-negeri lain bagi membantu kakitangan di hospital-hospital yang telah dikenalpasti.
“Setakat ini 75 orang kakitangan dari lain-lain negeri telah diarahkan bertugas membantu hospital USM dan 200 orang lagi bakal ditugaskan membantu tiga hospital terbabit” katanya.
Dalam sidang media yang sama, Dr. S. Subramaniam memaklumkan bantuan helikopter diterima dari Tentera dan Polis dalam proses memindahkan pesakit kritikal dan akan menggunakan khidmat helikopter dari pihak swasta jika perlu.
“Kita tak akan tunggu, jika helikopter tak cukup, kita akan sewa dari luar. Begitu juga dengan bekalan elektrik yang terputus, bekalan generator dari pihak Tentera akan dipastikan mencukupi untuk kegunaan hospital.
Pada masa yang sama, Kementerian telah menghantar 300 kilogram makanan ke Hospital Kuala Krai dan akan terus menghantar selepas ini, dan Kementerian turut bekerjasama dengan Puncak Niaga dalam membekalkan penapis air ke hospital” kata beliau.
Dr. S. Subramaniam turut menasihati rakyat agar tenang dalam menghadapi bencana banjir dan tidak bertindak menyebarkan berita palsu mengenainya.
“Jika berlaku kecemasan, pegawai kesihatan akan terus menghubungi bilik gerakan untuk meminta bantuan. Itu prosedur biasa yang kami akan buat. Orang ramai diminta bertenang dan jangan cepat percaya kepada khabar angin,” jelas Dr. S. Subramaniam dalam menafikan berita 10 orang meninggal dunia di Hospital Kuala Krai kerana kekurangan oksigen yang tersebar baru- baru ini.
#Alor Setar
#banjir
#Dr S. Subramaniam
#Kedah
#Kelantan
#Muhyiddin Yassin
#Pahang dan Perlis
#Perak
#terengganu