Henti sebar berita palsu tentang keretakan Empangan Batu - Azmin Ali

T K Letchumy Tamboo
Disember 26, 2014 13:21 MYT
MOHAMED AZMIN: Saya minta berita-berita palsu seperti ini dihentikan kerana ia boleh menimbulkan keadaan yang tidak harmoni di dalam masyarakat dan menimbulkan kebimbangan. -Gambar fail
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hari ini menyeru pihak tertentu agar menghentikan perbuatan menyebarkan berita palsu ketika negara berdepan bencana banjir teruk yang kian meruncing di negeri-negeri di Pantai Timur.
Mohamed Azmin mengulas khabar angin kononnya kerajaan Selangor telah melepaskan air dari Empangan Batu ekoran parasnya yang terlalu tinggi dan struktur binaan yang mengalami rekahan.
Mohamed Azmin berkata penyebaran berita palsu seperti itu tidak membantu situasi yang sedang dihadapi sekarang.
“Mulai semalam, tersebar berita palsu bahawa empangan Batu mengalami keretakan dan pelepasan air telah dibuat.
“Saya minta berita-berita palsu seperti ini dihentikan kerana ia boleh menimbulkan keadaan yang tidak harmoni di dalam masyarakat dan menimbulkan kebimbangan.
"Saya ingin menegaskan bahawa Empangan Batu adalah di bawah kawalan pejabat pengurusan Lembaga Sungai Klang, di bawah pengurusan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Bukannya JPS Selangor,” tegasnya dalam sidang media hari ini.
Tambahnya lagi, JPS Wilayah Persekutuan telah mengesahkan bahawa tiada pelepasan air dilakukan pada 25 dan 26 Disember seperti berita yang disebarkan.
“JPS Wilayah Persekutuan juga mengesahkan tiada berlaku keretakan atau apa-apa kerja pembaikan empangan seperti yang disebarkan.
“Saya berharap berita ini dapat dihentikan kerana ia tidak membantu situasi yang kita hadapi sekarang,” katanya.
Berita yang tersebar melalui laman media sosial dan aplikasi Whatsapp sejak semalam itu meminta penduduk di sekitar kawasan itu mengalihkan kenderaan masing-masing ekoran pelepasan air tersebut.
#Azmin Ali #banjir #Empangan Batu #retak
;