Fenomena 'New Moon', Monsun Timur Laut cetus banjir luar biasa

Bernama
Disember 23, 2014 19:24 MYT
Penduduk Kuantan melalui Jalan Kuantan-Gambang yang dinaiki air selepas semua paras air sungai di Kuantan melebihi paras bahaya. - Foto BERNAMA
Fenomena 'New Moon' iaitu kedudukan bulan berhampiran dengan bumi yang menyebabkan air pasang merupakan antara faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur pada tahun ini.
Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.
"Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar untuk surut disebabkan fenomena 'new moon' yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.
"Selain itu, hujan yang tidak berhenti sebelumnya menyebabkan aliran sungai dari hulu ke kuala tidak sampai sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya pihaknya menjangkakan hujan lebat akibat tiupan angin Monsun Timur Laut di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak minggu lalu, akan berterusan sehingga awal Januari depan.
"Namun keadaan cuaca dijangka bertambah baik pada hari ini hingga esok berikutan ramalan kami menunjukkan hujan hanya berlaku di satu atau dua tempat di negeri-negeri berkenaan," katanya.
Dr Mohd Hisham menjelaskan musim Monsun Timur Laut yang membawa kepada hujan lebat terbahagi kepada tiga episod, iaitu episod pertama yang berlaku pada akhir bulan November, episod kedua pada 16 hingga 19 Dis diikuti dengan yang ketiga iaitu Isnin lepas hingga esok.
"Walaupun cuaca dijangka baik pada dua hari tersebut, namun kami menjangkakan ada lagi episod keempat iaitu bermula pada 28 Dis sehingga 31 Dis dan mungkin akan berterusan sehingga awal bulan Januari," katanya.
Dr Mohd Hisham berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir akan berlaku lagi selepas 28 Dis ini di kawasan-kawasan kedudukan rendah dan berdekatan dengan sungai.
"Ketika musim Monsun Timur Laut, kawasan Pantai Timur dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari pada November hingga Januari 2015, serta kawasan barat Sarawak dan Sabah pada Januari hingga Mac 2015.
"Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tepi sungai dan rendah dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir," katanya. - Soon Li Wei
#air pasang #banjir #bulan #Bumi #faktor #Fenomena #kedudukan #luar biasa #new moon #Pantai Timur
;