Bomba buntu kerja pembersihan pasca banjir
Astro Awani
Januari 8, 2015 11:23 MYT
Januari 8, 2015 11:23 MYT
Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai telah buntu memikirkan cara membersihkan balai itu pasca banjir teruk yang dialami baru-baru ini.
Balai itu, yang merupakan antara pusat menyelamat, turut ditenggelami air ketika banjir.
Astro AWANI yang meninjau balai ini bersama Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman, melihat anggota bomba yang turut dibantu anggota bomba dari Kuala Terengganu giat membersih lumpur dan peralatan.
Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Krai, Penguasa Bomba, Azman Hassan, setelah air surut pada 27 Disember lepas, pihaknya buntu memikirkan apakah yang perlu diselamatkan di balai yang ditenggelami air itu.
Lumpur yang menyelaputi balai, peralatan dan alat komunikasi tentu akan menjejaskan operasi menyelamat dalam Daerah Kuala Krai nanti.
Walaupun kebanyakkan peralatan menyelamat rosak dan sistem komunikasi terjejas, bomba tetap beroperasi.
Katanya, dalam tempoh beberapa hari ini ada panggilan kecemasan yang melaporkan tentang kebakaran.
Walaupun keupayaan terhad namun usaha menyelamat ke atas masyarakat dapat dilaksanakan.
Ketika banjir yang melanda itu, balai ini ditenggelami separas bumbung dan kesemua peralatan rosak akibat kejadian itu.
Walau bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana dapat menyelamatkan jentera bomba dan bot penyelamat. Dengan bot tersebut, kerja-kerja menyelamat dapat dilakukan di kawasan Kuala Krai.
Kini sudah beberapa hari anggota bomba menjalankan kerja pembersihan dengan menggunakan air sungai bagi membuang lumpur.