Bekalan makanan akan kembali normal dua minggu lagi - Hasan Malek
Astro Awani
Januari 2, 2015 21:08 MYT
Januari 2, 2015 21:08 MYT
Bekalan makanan di negeri-negeri terjejas teruk akibat banjir dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.
Ini adalah pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, yang berkata banjir yang berlaku itu menyebabkan terdapat jalan raya terputus hubungan kerana dinaiki air yang menjejaskan penghantaran bekalan bahan mentah.
"Bekalan sebenarnya mencukupi cuma kadang kala ada tempat yang terputus hubungan, jalan raya tidak boleh dilalui menyebabkan kita tidak boleh hantar barang ke lokasi berkenaan (di kawasan terjejas banjir).
"Doakan sahaja supaya cuaca bertambah baik... lagi cepat keadaan cuaca baik lagi cepat la keadaan kembali seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan barangan kawalan dan barangan keperluan di Pasar Besar Wakaf Baharu di sini hari ini.
Sementara itu, beliau menasihati golongan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan berlebihan di musim banjir ini.
Katanya sikap mengaut keuntungan berlebihan di kala mangsa banjir masih berdukacita atas kehilangan harta benda perlu dielakkan.
Sepatutnya peniaga sama-sama membantu mangsa banjir dan orang ramai yang menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan makanan di saat ini.
"Pengguna pula perlu bijak untuk timbulkan rasa simpati dalam kalangan peniaga supaya tidak naikkan harga sesuka hati.
"Pengguna boleh memujuk peniaga untuk membantu mangsa banjir secara langsung atau tidak langsung dan tidak mengambil keuntungan terlalu tinggi walaupun peniaga menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan mentah," katanya.
Terdahulu beliau melawat pasar wakaf baru dan meninjau harga barangan di situ yang rata-ratanya harga masih normal dan tidak melambung tinggi.
Beberapa hari lalu, harga ayam dikatakan mencecah RM25 hingga RM30 ringgit seekor, manakala harga makanan bermasak juga dikatakan melambung sehingga lima kali ganda di beberapa kawasan yang terjejas dengan banjir.