Batalkan semua penganjuran Sambutan Ambang Tahun Baru - Irmohizam

Astro Awani
Disember 25, 2014 12:25 MYT
IRMOHIZAM: Batalkan semua penganjuran Sambutan Ambang Tahun Baru - Gambar fail
Kerajaan disaran untuk membatalkan semua penganjuran Sambutan Ambang Tahun Baru sebagai tanda keprihatinan terhadap musibah dan bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, kerajaan juga perlu membatalkan semua sambutan tahun baru secara besar-besaran termasuk acara bunga api dan seumpamanya.
"Kerajaan perlu menggantikannya dengan acara berunsurkan keagamaan 'ritual dan doa' dalam bentuk pengisian kerohanian mengikut kepercayaan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
"Ini seterusnya menunjukkan tanda keprihatinan pemimpin dan kerajaan terhadap musibah dan bencana banjir besar yang saya anggap antara yang terburuk yang melanda beberapa buah negeri di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, kerajaan juga dicadangkan untuk menggantikan sambutan ambang tahun baru tersebut dengan pengisian yang merangkumi solat maghrib, bacaan Yasin dan doa selamat, solat isyak dan solat hajat berjemaah bagi yang beragama Islam.
"Manakala bagi penganut agama-agama yang lain, acara berunsurkan agama mengikut kepercayaan masing-masing boleh dilakukan di kuil dan tokong serta rumah ibadat masing-masing di seluruh negara.
"Kita sebagai rakyat harus bersatu padu, mesti disertakan rasa ukhwah atau rasa persaudaraan serta mengutamakan kesusahan rakyat secara keseluruhannya.
"Apatah lagi, antara intipati amalan perpaduan merangkumi sifat tolong-menolong dan berasa simpati atas kesusahan atau musibah yang menimpa orang lain," jelasnya.
Irmohizam turut meminta rakyat negara ini berdoa supaya cuaca bertambah baik dan semoga keluarga dan mangsa banjir diselamatkan.
"Doa kita agar semua dibawa ke tempat perlindungan serta diberi semua bantuan yang sepatutnya," ujarnya.
Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang semakin buruk pada Khamis apabila lebih ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan.
Fenomena ‘New Moon’ iaitu kedudukan bulan berhampiran dengan bumi yang menyebabkan air pasang dikatakan merupakan antara faktor yang mencetuskan banjir luar biasa di kawasan Pantai Timur pada tahun ini.
Kata Irmohizam lagi, walaupun cuaca dijangka baik pada awal tahun depan, namun Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan ada lagi episod keempat iaitu bermula pada 28 sehingga 31 Disember dan mungkin akan berterusan sehingga awal bulan Januari.
#banjir #Irmohizam #moon #sambutan #terengganu #UMNO
;