Banjir: MKN sangkal dakwaan lantik ejen urus wang ehsan
Muhafandi Muhamad
Januari 28, 2015 08:09 MYT
Januari 28, 2015 08:09 MYT
Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengingatkan mangsa banjir supaya tidak terpedaya dengan helah pihak tertentu yang mendakwa sebagai ejen bagi menguruskan wang ihsan RM500 yang akan dibayar kerajaan.
Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen dan hanya akan membuat pembayaran terus kepada mangsa banjir.
Katanya, setakat ini MKN telah selesai membuat pembayaran kepada 500,000 mangsa banjir melibatkan RM1 juta wang agihan.
[GALERI FOTO]: KELANTAN PASCA BANJIR
"Urusan wang ehsan ini sekali-kali tidak melalui ejen dilakukan oleh kerajaan sendiri, pejabat daerah, penghulu atau penggawa atau JKM. Ini sahaja yang dilantik untuk mendaftar mangsa banjir tidak pernah sekalipun kita gunakan ejen," tegas Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.
"Jadi apabila kita menguruskan wang ehsan ini saya gunakan sama seperti kaedah bank gunakan. Tidak ada wakil yang boleh datang untuk ambil wang ehsan bagi pihak orang lain saya hanya akan bayar wang ehsan tu pada mangsa banjir," katanya.
Thajudeen turut berkata kerajaan memberi peruntukan RM500 juta khusus untuk membantu mangsa banjir dan bagi mengelakkan sebarang penyelewengan berlaku MKN telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Polis Diraja Malaysia.
Di samping itu, beliau turut menyangkal dakwaan orang ramai bahawa MKN menumpukan pembinaan penempatan sementara di sekitar kawasan bandar dan tugas di kawasan pedalaman hanya dilakukan oleh wakil badan bukan kerajaan (NGO).
[LAGI FOTO]: SUASANA PASCA BANJIR DI PANTAI TIMUR
Setakat ini, MKN telah memasang 937 buah khemah di seluruh negara termasuklah di kawasan pedalaman dan penempatan Orang Asli.