Banjir : Mayat mangsa bot terbalik ditemui
Astro Awani
Disember 26, 2014 20:34 MYT
Disember 26, 2014 20:34 MYT
Salah satu daripada pasangan yang hilang selepas terjatuh dari bot penyelamat yang terbalik di Kampung Geliga Che Akob tiga hari lalu berjaya ditemui.
Mayat mangsa Norhayati Sulong dijumpai pasukan mencari dan menyelamat kira kira jam 4.25 petang tadi iaitu kira - kira 700 meter dari tempat bot penyelamat itu terbalik.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa pulang ke khemah operasi oleh pasukan bomba dan penyelamat sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman, Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan penemuan mayat terbabit.
Dalam kejadian 1.20 tengah hari Rabu, mangsa dan suaminya, Suhaimi Awang, kedua-dua berusia 37 tahun, hilang dibawa arus deras setelah bot penyelamat yang dinaiki mereka terbalik lalu karam di Kampung Geliga Che Akob.
Kejadian berlaku apabila bot penyelamat yang dinaiki mereka bersama tiga penumpang dan dua anggota bomba terbalik akibat terperangkap dalam pusaran arus deras di Kampung Geliga Che Akob.
Abang mangsa, Razali Sulong berkata beliau bersyukur penantian mereka sekeluarga berakhir dengan penemuan mayat adiknya.
Mereka turut mengadakan solat hajat dan bacaan yassin bersama penduduk dan pasukan mencari dan menyelamat.
“Hari ni kita ada buat solat hajat di penempatan bomba. Jadi Alhamdulillah lepas sembahyang Jumaat tadi kita mendapat khabar berita dimana satu jenazah sudah ditemui.
“Jadi kita pastikan mayat itu dengan adik beradik. Dah disahkan, itu adalah Norhayati yang telah lemas pada hari yang dinyatakan,” tambah beliau.
Beliau berkata mangsa sebelum ini ada menunjukkan sedikit perubahan ketika menempah perabot kayu jati daripada isterinya yang menjalankan perniagaan di Johor Baharu.
"Dia kata dia nak tempah perabot semua warna putih dan dia kata saya rasa selesa dengan perkara itu. Jadi memang kita jangkakan perkara ini akan berlaku," kata Razali.
Razali dan keluarga bagaimanapun mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam usaha mencari dan menyelamat adiknya.
Pada masa sama mereka berharap suami mangsa dapat ditemui tidak lama lagi.
Mayat Norhayati yang dijumpai petang ini adalah merupakan penemuan kedua mayat mangsa banjir di Terengganu selepas penemuan mayat remaja berusia 14 tahun, Nurrashidah Baharuddin.
Nurrashidah lemas di Sungai Kesom selepas tergelincir dan jatuh di sebuah sungai yang berdekatan dengan Kampung Kesom Che Nordin, Manir, Kuala Terengganu semalam.