Banjir: Adik 'beralah' beri abang keutamaan bersekolah
Bernama
Januari 3, 2015 00:02 MYT
Januari 3, 2015 00:02 MYT
Semangatnya adik berusia lima tahun, Mohd Zulhelmi Mohd Zaliyar Zamri, untuk memulakan alam prapersekolahannya sebelum ini begitu berkobar-kobar, namun disebabkan banjir hasrat itu terpaksa dipendamkan setelah ibu bapanya perlu mengutamakan persekolahan abangnya.
Ibunya Wan Natasha Wan Ismail, 34, berkata keputusan itu dibuat dengan berat hati memandangkan beliau dan suami Mohd Zaliyar, 35, menghadapi kekangan kewangan selepas rumah mereka di Perkampungan Bukit Rangin di sini, dilanda banjir minggu lepas.
"Sedih juga bila terpaksa beritahu Mohd Zulhelmi yang dia tidak akan ke sekolah, memandangkan dia sudah tahu akan mula bersekolah bersama sepupu sebayanya tahun ini,"
"Tetapi apakan daya, keutamaan kami kini ialah menyediakan kelengkapan persekolahan kepada abang keduanya, Mohd Zamarul, 10, yang akan memasuki tahun tiga di Sekolah Kebangsaan Bukit Rangin di sini pada 12 Jan ini," katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini, hari ini.
Wan Natasha dan Mohd Zaliyar mempunyai dua lagi anak Mohd Zamri Ismail, 16, dan Puteri Nur Jannah, setahun.
Suri rumah itu berkata mereka juga masih tidak berkesempatan membeli kelengkapan persekolahan kerana masih sibuk membersihkan rumah selepas pulang daripada pusat pemindahan banjir sejak seminggu lepas.
"Setiap hari ada sahaja yang perlu dilakukan. Perlu mengasingkan apa yang boleh dipakai dan apa yang perlu dibuang. Mana lagi hendak membasuh pakaian yang disaluti selut dengan anak kecil yang masih menyusu," katanya.
Perkara sama juga dilalui suri rumah Rosnaini Bakar, 37, yang masih tidak membuat persiapan persekolahan tiga anaknya Ahmad Danial Adam, 12, Rose Dania Amanda, 11, dan Rose Damia Amelda, enam, selepas semua barangan rumah dan persiapan persekolahan sebelum ini musnah akibat banjir.
"Sebelum ini saya dan suami Ahmad Sabri Hanafi Yusof memilih untuk membeli barangan sekolah yang perlu sahaja agar tidak begitu terasa (jumlah wang yang perlu dikeluarkan), malangnya barangan itu juga tidak sempat diselamatkan semasa tergesa-gesa berpindah pada 23 Dis lalu," katanya.
Beliau yang pulang ke rumah selepas lima hari bermalam di pusat pemindahan berkata anak-anaknya ada yang bertanyakan bila mereka akan ke bandar untuk membeli barangan sekolah.
"Syukur juga apabila mereka faham apabila diterangkan mengapa kami tidak boleh menyediakan semuanya serba-serbi baharu dan kami amat berharap dapat menerima bantuan persekolahan seperti beg sekolah agar dapat meringankan beban yang ditanggung," katanya.
Rosnaini berkata aktiviti hariannya kini bersama anak-anak setiap kali hari selepas bersarapan adalah membersihkan rumah dan hanya akan tidur selepas tengah malam, sebelum menyambung semula keesokan harinya.