Banjir: 23 kematian, tiga hilang dicatat setakat hari ini
Bernama
Januari 5, 2015 21:49 MYT
Januari 5, 2015 21:49 MYT
Sebanyak 23 kematian dan tiga kes kehilangan dicatat akibat bencana banjir yang melanda beberapa negeri di negara ini sejak tiga minggu lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Kelantan mencatatkan 11 kematian, manakala Terengganu dan Pahang masing-masing lima kematian dan Perak pula dua kematian.
"Mangsa yang masih hilang berjumlah tiga orang dengan Kelantan mencatatkan dua orang dan Terengganu seorang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Intergriti Ketua Polis Balai di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
Menyentuh mengenai 24 buah balai polis di seluruh negara yang terjejas akibat banjir, Khalid berkata pada masa ini, usaha sedang dijalankan untuk kerja-kerja pembersihan sebelum taksiran nilai kerugian dapat dijalankan.
"Data kerugian masih belum dapat diperoleh...ambil masa dalam seminggu dua lagi. Tumpuan lebih kepada kerja-kerja pembersihan ketika ini," katanya.