Antara isu banjir dan hudud, sidang DUN khas ditangguhkan

Astro Awani
Disember 27, 2014 14:35 MYT
Menurut Ahmad Yakob, penangguhan tersebut adalah untuk mengutamakan dahulu keperluan rakyat. - Gambar Fail
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini mengumumkan bahawa Sidang Khas DUN bagi membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2014 yang dijadual berlangsung pada Isnin ini, ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian nanti.
Menurut Ahmad Yakob, penangguhan tersebut adalah untuk mengutamakan dahulu keperluan rakyat Kelantan khasnya dari sudut keselamatan nyawa saat menghadapi musibah banjir yang amat serius kali ini.
Sebelum ini, perancangan PAS dalam pengisian sidang DUN tersebut mendapat reaksi kurang senang dalam kalangan rakan gabungan Pakatan Rakyat, terutamanya daripada pucuk pimpinan tertinggi DAP.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang tiga hari lalu menyatakan hasrat untuk memulaukan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan datang ekoran agenda hudud PAS.
Kenyataan Nik Abduh
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz baru-baru ini melalui saluran Facebook turut mengulas tentang pengajaran daripada bencana banjir di Kelantan yang dikaitkan dengan pelaksanaan hukum hudud.
“Bencana banjir ingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah dan jauhi murka-Nya. Ia wajarkan kerajaan Kelantan terus istiqamah laksana syariat hudud,” katanya.
Status tersebut menerima pelbagai komen yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan cara Nik Abduh mengaitkan soal hudud dengan masalah banjir yang sekian lama menjadi bencana tahunan di negeri Kelantan.
Salah seorang daripada mereka, Mohd Abdul Bashir Zakaria meninggalkan komen pada status tersebut: “Tak perlu cerita hudud di saat susah. Umar (Al-Khattab) tak cerita (tentang) potong tangan di saat kegawatan ekonomi di mana rakyat tak cukup makanan. Umar baiki sistem pentadbiran. Tingkat taraf hidup. Bina pelbagai kemudahan.
“Kenapa tak keluar statement hendak berusaha cari dana atasi masalah banjir?
“Kenapa kecilkan ibadah pada benda spiritual sahaja? Jangan salah guna agama hendak memerintah. Sedangkan menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat lebih besar pahala dari sujud sepanjang malam”.
Sementara itu, Naqiuddin Nasution turut meninggalkan komen: “Bukan baru hari ini Kelantan banjir, setiap tahun berlaku. Dan kita masih lagi mahu menyalahkan orang lain. Seolah-olah kita dalam redha-Nya, dan mereka dalam murka-Nya.
“Mengapa tidak sebelum kita mahu laksanakan hudud, kita laksanakan dahulu perkara yang lebih mudah seperti baik pulih sistem pengaliran, sistem kutipan sampah.”
#DAP #DUN #hudud #Kelantan #nik abduh #PAS #sidang
;